Monday 19 September 2016

Majlis Raja-raja Melayu

SINOPSIS

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong juga terletak pada Majlis Raja-Raja. Selain itu, majlis ini merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam di Malaysia.


Majlis ini dianggotai oleh semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia. Mengikut peraturan hanya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja sahaja yang layak mempengerusikan mesyuarat dan ia dipengerusikan mengikut giliran yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis. YAB Menteri Besar / Ketua Menteri hadir sebagai penasihat kepada DYMM Raja-Raja dan TYT Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat. Ini menjadikan mesyuarat ini sebagai mesyuarat ‘tertinggi’ di Malaysia. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong biasanya hanya hadir jika mesyuarat tersebut akan melantik Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya atau ia membincangkan polisi negara. Timbalan Perdana Menteri tidak tergolong dalam Majlis Raja-Raja.



OBJEKTIF KAJIAN



· Mengenal pasti faktor penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu.

· Mengetahui fungsi penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu.



SEJARAH








Sejarah Majlis Raja-Raja bermula dengan penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah ditubuhkan. Sehubungan dengan itu, satu Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah ditubuhkan untuk membincangkan hal-ehwal dan kepentingan bersama dengan Pemerintah Inggeris.


Mesyuarat Pertama Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu, atau lebih dikenali sebagai Mesyuarat Durbar telah diadakan pada 13 - 17 Julai 1897 di Istana Iskandariah ,

Bukit Chandan , Kuala Kangsar, Perak. Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja. Durbar juga bermaksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja-Raja ataupun gabenor atau wizurai British di India pada masa dahulu.


Raja-Raja Melayu yang hadir dalam mesyuarat Durbar tersebut ialah DYMM Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah (Negeri Perak), DYMM Sultan Abdul Samad (Negeri Selangor), DYMM Tuanku Muhammad (Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), dan DYMM Sultan Ahmad (Negeri Pahang).


Pihak Inggeris pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham (pengerusi mesyuarat), Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Hugh Clifford, Residen Inggeris di Pahang, J.P Rodgers, Residen Inggeris di Selangor dan W.H. Treacher, Residen Inggeris di Perak. Mesyuarat Durbar telah diadakan sebanyak 9 kali hingga tahun 1939.


Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dalam tahun 1948, keahliannya ditambah dengan kemasukan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Negeri Johor,Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Namanya juga telah dipendekkan menjadi Majlis-Raja-Raja. Mesyuarat pertama bagi tempoh ini telah diadakan pada 18 Februari 1948 di Kuala Lumpur dan telah dipengerusikan oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor. Pihak Inggeris diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Antara Februari 1948 hingga Ogos 1957 mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diadakan sebanyak 50 kali.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya, negeri Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli dan ini diikuti pula oleh Sabah dan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.


Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama selepas merdeka telah diadakan pada 30 dan 31 Oktober 1957 dan dipengerusikan oleh DYMM Sultan Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis. Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-125 pula diadakan pada 15 - 16 Oktober 2008 di Terengganu.





KUASA MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU


Pada 1983, pindaan untuk memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia. Bagaimanapun pindaan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Sebagai komprominya, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan rang undang-undang ke Dewan Rakyat untuk dipertimbangkan semula. Pindaan Perlembagaan 1994 juga tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Kuasa raja melantik menteri besar merupakan kuasa formal sahaja. Tetapi dalam keadaan tidak menentu seperti di Perlis dan Perak pada 2008, kuasa raja akan menjadi sangat signifikan. Begitu juga di Terengganu dalam perlantikan Menteri Besar Terengganu 2008.




MAJLIS RAJA-RAJA:




FAKTOR PENUBUHAN MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU


Ditubuhkan untuk membincangkan hal-ehwal dan kepentingan bersama dengan penjajah Inggeris.

Ditubuhkan untuk membina hubungan rapat dengan kerajaan persekutuan dan negeri.

Mewujudkan kerjasama dan perpaduan di antara keempat-empat negeri Melayu.

Sultan juga dikehendaki menurut segala nasihat Residen Jeneral kecuali perkara yang berkaitan agama Islam dan adat isitiadat Melayu.

Sultan-sultan NNMB tidak puas hati kerana sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri diambil alih oleh Residen Jeneral.

Pembesar semakin hilang kuasa lebih ramai pengawai British berkhidmat di Jabatan Persekutuan.





FUNGSI MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU


Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya hasil perancangan British pada tahun 1948 bagi menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).

Kali pertama ia diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Mesyuarat yang pertama diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948. Mesyuarat ini buat pertama kali dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Fungsi Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi unik kerana Majlis ini adalah institusi tunggal yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut:

* Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;

* Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;

* Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa- apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;

* Melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;

* Memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

* Dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.

Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).

KEAHLIAN

Semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu.

Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Ahli Majlis Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.

Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri. Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.

Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja
Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Semua Raja-raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Anggota Majlis Raja-raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seseorang anggota tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik oleh Anggota itu mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu Negeri.

Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Anggota Majlis Raja-raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-raja.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah Anggota Majlis Raja-raja. Baginda berangkat sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Y.A.B. Perdana Menteri sebagai penasihat Baginda.

Pengerusi Mesyuarat



Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Raja-raja adalah dipegang oleh kesemua sembilan Raja Melayu secara bergilir-gilir. Hanya Raja Melayu yang hakiki boleh mempengerusikan mesyuarat, yakni bukan seseorang Pemangku Raja ataupun seseorang Yang di-Pertua Negeri

Kekerapan Mesyuarat



Mesyuarat lazimnya diadakan tiga kali setahun tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan juga bilamana berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Penasihat



Semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri hadir sama selaku penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Setiausaha Mesyuarat



Sebagaimana diperuntukkan oleh Jadual V Perkara 38 Perlembagaan Pegawai yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-raja adalah Setiausaha kepada Majlis Raja-raja



Tempat Mesyuarat


Mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara atau di tempat-tempat lain setelah dipersetujui oleh Majlis. Mesyuarat Majlis Raja-raja juga pernah diadakan di luar Istana Negara.


Contoh semasa






Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hadir semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-213 sambil diiringi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Negara semalam.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang ke - 219







Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-219 diadakan pada 6 November 2009 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Tuanku Muhriz yang baru dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menjadi pengerusi mesyuarat.


Antara yang turut hadir ialah :



1. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin

2. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

3. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

4. Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra

5. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad

6. Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sultan Azlan Shah

7. Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail.

8. Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku BaderulZaman Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Agenda mesyuarat itu berhubung isu agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi dan industri kewangan Islam.




KESIMPULAN



Secara keseluruhan dapat dijelaskan bahawa penubuhan majlis raja-raja melayu menjadi titik tolak yang menjadi penting dalam lipatan sejarah di Malaysia. janganlah kita lupa bahawa kemerdekaan yang kita kecapi hari ini asalnya bermula daripada kebijaksanaan raja-raja Melayu yang cintakan rakyatnya selari dengan falsafah 'negeri sentosa rakyat sejahtera, negeri bersultan rakyat beraja, merentas waktu peralihan masa, kekal sentiasa terpisah tiada. Kebanyakan negara-negara yang ada di seluruh dunia yang pada masa dahulu mempunyai sultan atau raja kini lenyap institusi beraja dan kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menghargai dan berbangga kerana masih mempunyai sultan atau raja yang dilihat sebagai simbol perpaduan di dalam negara.

No comments:

Post a Comment